follow

Begitu Dihatimu, Begitu Jua Dihatiku.. 2


Lampu bilik di pasang. Kipas usang lagi berhabuk dihidupkan dan dihalakan pada tempat tidur aku. Aku bersyukur kerana rumah yang dah expired ini masih dibekalkan elektrik. Kalau tidak, mati kepanasan aku.
“Haashemm!”
Erk! Hidung aku dah mula dah. Ni kipas habuk punya pasal la. Aku duduk sambil memeluk lutut. Kepala disandar pada kepala katil kayu yang  bila kita naik, akan berbunyi keriut-keriut. Boleh dikatakan, hampir kesemua benda dalam rumah ini usang. Aku tak boleh bayangkan apa nasib aku di hari mendatang
Di kala ini, apalah yang papa dengan abang buat?
Ah... lupakan la. Semua orang yang aku sayang, dah campak aku jauh-jauh dari hidup mereka. Jadi buat apa aku perlu semakkan otak aku pikirkan semua tu. Apa sangatlah nilai diri aku di mata mereka. Sia-sia aku menumpang kasih selama 21 tahun dalam rumah itu jika kasih sayang yang diberi dusta semata-mata. Cuma kasih sayang mama yang kekal abadi. Walaupun aku dapat merasa belaian mama 4 tahun sahaja, tetapi aku amat pasti kasih sayangnya sangat murni. Mulalah kenangan aku bersama mama bermain di rumah minda. Sesungguhnya aku sangat rindukan mama. Kalaulah mama ada lagi.... Air mata aku berjujuran
“Mama...Rika dah tak ada siapa-siapa lagi dalam dunia ni. Papa buang Rika. Abang pun sama. Takde siapa yang sayangkan Rika lagi. Rika nak mama... Rika rindu mama... Mama rindu Rika tak?” air mataku berjujuran seiring dengan luahan hatiku. Sesungguhnya hati aku sangat kosong. Kosong sangat. Apa patut aku buat?...
“Rika nak mama....”
***
Jam pada telefon bimbit menunjukkan pukul 8:30 pagi. Aku betul-betul tak tahu apa yang aku patut buat sekarang ni. Nak makan, satu hape pun takde kat dapur. Duit? Kalau ada pun, apa je yang aku boleh beli kat sini.
Aku keluar rumah dengan memakai baju tidur. Keadaan di sini bila pagi teramatlah sejuk. Sampai aku nak sentuh air pun kena fikir 10 kali.
Dari jauh aku ternampak sebuah kereta mewah bergerak menghampiri rumah nenek ini. Setelah diamati betu-betul, aku jadi tertanya-tanya. Apa mahunya manusia tu ke mari? Demi rasa marah yang membuku di hati, aku nekad tak mahu jumpa orang itu. Aku mula mencari tempat untuk bersorok. Akhirnya, aku menyorok di sebalik pokok pelam yang dibawahnya terdapat pangkin kayu.
Kelihatan abang keluar dari kereta. Tetapi wajah papa tidak pula kelihatan.
“Assalamualaikum...” salam abang aku jawab dalam hati. Setelah tiga kali memberi salam, abang melangkah masuk ke dalam rumah. Aku pula cepat-cepat mencapai tangga kayu yang diletakkan berhampiran pokok pelam tadi. Setelah tangga kayu itu ditegakkan pada pokok dan memastikan tangga itu tidak dapat di lihat oleh abang, dengan penuh cermat aku panjat hingga sampai ke dahan yang agak kukuh untuk aku bersandar. Gila! Kalau aku cerita kat member aku pasal aku panjat pokok, mesti terkejut beruk. Aku sendiri pun tak sangka yang aku dah berada di atas pokok ini.
Dari atas pokok aku nampak abang terjerit-jerit memanggil nama aku. Tahu pun risau eh? Semalam siap campak aku macam sampah lagi. Abang berjalan melepasi semak. Mungkin hendak bertanya pada jiran. Aku senyum sinis. Memang sia-sia la abang oi! Tak guna kau tanya pada diorang. Entah kenal aku ke tidak tah. Aku akan duduk di atas pokok ni sampai la abang blah. Aku tak kisah. Yang penting aku tak mahu jumpa abang.
Tak lama kemudian, abang muncul bersama pemuda semalam. Apa pulak Azran buat dengan abang aku? Tanya pasal aku? Memang tak la. Azran pun kenal aku tak sampai 10 minit. Hati aku menggeletek. Seronok pula tengok muka kalut abang. Huh! Rasakan.
Abang mula memasuki ke kereta. Azran melambai dan kereta itu mula berlalu pergi. Aku tarik nafas lega. Dan sekarang tunggu Azran pergi pulak. Namun Azran tidak pulang kerumahnya tapi berjalan menghampiri pangkin bawah pokok yang aku panjat tadi. Kalau gini bila masanya aku nak turun.
“Turun jelah Cik Sofi. Abang awak dah balik.”
Gulp! Dia...tahu? dia tahu aku ada kat atas? Tapi macam mana?
“Tak nak turun? Ke tak reti turun?” perlahan-lahan Azran mendongak. Aku terpempan melihat senyuman Azran itu. Ada perasan yang aneh menyentuh tangkai hati. Lantas aku berpaling darinya. Perlahan-lahan aku turun menggunakan tangga tadi. Nasib baik pokok pelam ini tidak terlalu tinggi. Takdelah aku gayat sangat.
“Macam mana awak tahu saya ada dekat atas?” aku duduk agak jauh dari dia di pangkin itu. dari ekor mata jelas yang Azran masih tersenyum.
“Penting ke Cik Sofi nak tahu?” Azran memandang aku. Memang aku tidak silap dengar tadi. Dia panggil aku Sofi dengan menambah Cik di pangkal nama aku. Tapi apesal formal sangat?
Aku mengangguk. “Penting bagi saya. Mana tahu entah-entah awak ni tukang tilik. Boleh la saya mintak tilik siapa bakal suami saya.” Aku bergurau.
Azran melemparkan senyuman padaku. Lagi sekali aku terpana melihat senyuman itu. Pertama kali aku berasa tenang saat melihat senyuman seorang lelaki.
“Cik Sofi percaya dengan tilik-tilik ni?” aku angkat bahu.
“Tilik menilik ni berdosa besar di sisi hukum Islam. Allah melaknat tau orang yang mengamalkan tilik-menilik ni. Jadi buat apa saya hendak mengamalkan tilik sedangkan saya tahu hukumnya? Betul tak? Pasal suami tu, jangan risau. Setiap hamba di atas muka bumi ni Allah dah tetapkan jodohnya. Cuma jodoh tu belum tiba lagi.” lembut tutur bicaranya. Aku hanya mengangguk sambil kaki menguis pasir. Sedikit sebanyak aku agak terasa dengan katanya. Terasa diri aku begitu jahil berbanding orang kampung seperti Azran.
“Cik Sofi lapar?” pantas aku memangku kepala.
“Jom. Kat rumah saya ada makanan special tau. Konfem Cik Sofi suka.” Azran mula bangkit dan berjalan melalui semak itu. Demi perut yang kelaparan, aku ikut saja jejak langkahnya.
***
Aku hanya melihat hidangan serba ringkas di atas meja itu. Aku tak tahu namanya, tapi Azran cakap itu ubi kayu rebus dengan sambalnya sekali. Sungguh aku memang tak pernah melihat hidangan sarapan sebegini. Pelik. Seingat aku, makanan ini selalunya dihidangkan ketika zaman peperangan dulu sebelum Malaysia merdeka. Dan yang penting, sedap ke? Azran sudah lesap entah kemana. Tinggallah aku sensorang di dapur ni.
“Kamu Sofi, ya?” aku berpaling ke pintu dapur. Kelihatan seorang wanita tua sedang memegang pisau. Ekk, pisau?!
“Sofikan? Makanlah. Sedap tu.” Wanita tua itu meletakkan pisaunya di sinki. Aku tarik nafas lega. Ingatkan ada niat jahat tadi. Nak mintak tolong pun Azran tak ada. Tambahan pula di sini aku hanya mengenali Azran seorang sahaja.
Aku masih belum menjamah makanan pelik itu.
“Sofi memang tak banyak cakap ye?” wanita tua itu duduk di sebelah aku pada meja yang sama.
Aku cuba menarik senyuman. Jelas agak hambar senyumanku itu. Aku memang begini bila berhadapan dengan orang yang aku tak kenal.
“Sofi jangan risau. Makcik ni orang baik-baik. Nama makcik, Zubedah. Ha...Azran tu anak makcik la.” Terangnya tanpa aku pinta. Aku hanya mengangguk.
“Reti makan ubi ni?” aku menggeleng. Makcik Zubedah tersenyum melihat aku dari tadi asyik bermain kepala.
“Senang je. Sofi ambil ubi ni, lepas itu cicah dengan sambal dia ni.”
Aku mengikut seperti apa yang dia buat itu. Perlahan-lahan ubi itu dimasukkan kedalam mulut. Saat ubi dan sambalnya dikunyah sebati, tiba-tiba lidah aku terasa kebas. Tangan di libas-libas depan mulut.
“Pedas...”
“Haa...ada suara pun. Memanglah pedas. Nama pun sambalkan?” Makcik Zubedah menghulurkan air masak. Laju saja aku mengambilnya dan diteguk rakus. Berapa kilo cili la yang diletak dalam sambal ni. Mahu mati aku!
Brrrr!
Mulut ditekup. Aku tersipu malu pada makcik Zubedah. Siapa sangka, makanan pelik ini rupanya sedap jugak. Mula-mula memanglah pedas. Tapi lama-kelamaan, bila lidah dah biasa makan pedas nanti akan terus terbiasa dan akan terus makan dan makan hingga kenyang.
***
Petang itu Azran mengajak aku ke parit belakang rumahnya. Sebenarnya belakang rumah nenek ni jugak sebab parit di rumah Azran bersambungan dengan parit belakang rumah nenek aku. Tanpa banyak bicara, aku mengiakan saja. Sungguh aku tak tahu apa aku patut buat disini. Papa pun satu. Hantar aku sini, tapi takde pulak suruh aku buat apa-apa.
“Cik Sofi tau apa benda ni?” Azran bertanya sambil menunjuk aku sesuatu.
Aku kerut dahi. “Awak ingat saya ni tinggal dalam gua ke? Tentulah saya tau.” Bidasku. Tangan aku lincah mengusap lengan bagi mengelak si penghisap darah menyentuh kulitku.
Azran senyum, “Lega saya kalau Cik sofi tau.”
Aku berhenti berjalan. Kau saje jekan nak kenakan aku?
“Kenapa cik? Dah ubah fikiran taknak memancing ke? Risau tak dapat ikan?” Azran juga berhenti melangkah.
Bibir di ketap. Bunyi macam nak cabar aku je?!
“Siapa kata saya ubah fikiran? Sikit pun saya tak risau okeh! Kita tengok la siapa yang dapat ikan dulu nanti! Huh...” lantas satu batang pancing di tangan Azran aku rampas. Sebuah jelingan tajam diberikan dan berjalan mendahuluinya.
Setelah tiba diparit tersebut, Azran mencari tempat yang redup untuk diduduki.
“Eiuuuuww! Azran buang la! Pengotor betul!” aku cepat-cepat menjauhi Azran. Ish! Menatang apelah yang dia pegang tu? Mengiut-ngiut!
“Cik sofi. Saya bukan pengotor. Cik sebenarnya tak pernah memancingkan?” soalan Azran membuatkan riak wajah aku berubah.
“Kalau cik nak tahu, ini namanya cacing. Cacing ni gunanya untuk memancing.” Sambil menerang, tangan Azran juga bergerak dengan memasukkan cacing itu pada mata kail.
“Eh! Awak buat apa ni?” Azran ni dah kenapa? Kesian la cacing tu. Ada ke ditusuk badan cacing dengan mata kail.
“Laa... cik Sofi tak nampak ke? Saya nak memancing la.”
“Yelah. Tapi kenapa buat cacing macam tu. Tu kejam namanya!” marahku.
Tiba-tiba tawa Azran meletus. Aku kehairanan.
“Sah! Memang sah Cik Sofi tak pernah memancing. Cik Sofi, kalau kita kesiankan cacing ni, macam mana kita nak memancing dan nak dapat ikan? Cik nak makan sayur je ke?” Azran mula mencampakkan mata kailnya di tengah parit.
“Selain ikan, kita boleh makan ayam atau dagingkan? Ha..takpun beli je ikan dekat pasar. Kan senang?”balasku. Nampaknya akan ada perdebatan di tepi parit ini.
“Ya, betul. Tapi orang miskin macam saya ni, bukannya senang nak dapatkan ikan, ayam dengan daging. Kat rumah saya mana ada pelihara ayam,lembu apetah lagi. Kucing adalah. Lainlah cik sofi, kaya. Senang la nak mintak itu, mintak ini. Kan?” Azran memandang aku.
Aku terdiam sekejap. Gaya cakap dia macam terasa je.
“Kenapa diam? Dah takde modal nak berbahas ke? Kalau takde, meh sini. Kita mancing sama-sama. Tak best la sorang mancing, sorang duduk goyang kaki.” Azran memasang umpan pada mata kail pancing yang aku pegang tadi.
“tahu tak macam mana nak campak pancing ni?” Azran menanya.
Soalan itu seperti memperlekehkan kebolehan aku. Aku menjelingnya. “Saya bukan bodoh sangat sampai nak campak pun tak tahu.” Lantas pancing ditarik dari belakang kemudian ke depan. Serentak dengan itu mata kail menjunam ke dalam parit yang airnya keruh.
Azran menggeleng-geleng seraya tersenyum.
20 minit kemudian...
“Awak..awak.. ke..kenapa dengan pancing saya ni. kenapa bergerak-gerak?” aku mengawal batang pancing itu.
Azran pantas mendekati aku. “Wah...nampaknya cik kita ni lagi expert dari saya.”
“Apa maksud awak?” tanyaku pelik. Kemudian batang pancing bertukar tangan. Azran menarik-narik batang pancing itu. Sekejap saja, muncul satu ikan sebesar lengan di hujung mata kail tadi.
“Azran! Ikan! Ikan! Saya dah dapat ikan! Yeaiy!” aku menjerit kegirangan sambil bertepuk tangan. Sesekali aku terlompat-lompat. First time dapat ikan la katakan? Siapa tak suka!
“Besarnya. Ni mesti ikan jantan ni dah terpikat pada tuan pancing dia.” Guraunya. Aku tersenyum lebar. Lagi sekali aku melompat apabila ikan itu bergerak-gerak seperti enggan dilepaskan dari mata kail.
Tidak semena-mena, kaki aku terpijak tepi parit yang licin. Tanpa dapat dikawal, badan aku ringan saja menyembah parit yang airnya keruh itu.
“Sofi!”
Dalam kepayahan akibat lumpur dalam parit itu, aku tetap usaha untuk bangun. Nasib baik air ni cetek. Kalau tak, kempunan bakal suami aku nak memperisterikan aku!
Tiba-tiba telinga aku menangkap suara orang ketawa. Suara itu ternyata datang dari mulut Azran. Asam dol punya Azran! Kau gelakkan aku...
“Arghh!!!” aku menjerit kegeraman sambil menghentak-hentak kakiku. Tanpa sedar, rupanya aku masih berdiri di dalam parit. Habis basah lenjun badan aku yang memang dah sedia basah ini.
“Haha... tak sangka selain ikan, dalam parit ni pun ada puteri bunian ya!” gelak Azran bersambung dan terus bersambung hinggalah sampai di perkarangan rumah Azran.
“Awak boleh diam tak! Saya cili mulut tu baru tau.”
“Ok..sorry..sorry. saya diam.” Jari telunjuknya dilekapkan pada mulut. Dari ekor mata aku Azran seperti menahan ketawa. Aku dengar kau gelak lagi, siap aku kerjakan!
“Masya-Allah! Makhluk apa yang kamu kutip ni Azran?” suara nyaring makcik Zubedah mengejutkan aku. Tapi telinga aku yang sakit sekarang ni. Dia panggil aku makhluk? Kutip? Ingat aku sampah ke nak kutip-kutip bagai ni! Aku manusia, bukan makhluk!
Gelak Azran kembali meletus. Aku yang sedang menahan geram, terus campak batang pancing di kakinya dan berlari laju melalui semak untuk pulang ke rumah nenek.
***
Bunyi salam di luar aku biarkan saja. Salamnya pula tetap aku jawab tapi dalam hati. Yelah... kang free-free je aku dapat dosa cuma tidak menjawab salamnya. Sesekali pintu rumah diketuk. Huh! Lantak kaulah nak ketuk sampai pagi pun. Aku tetap taknak ikut cakap dia dah.
“Cik Sofi. Saya mintak maaf la. Saya tak sengaja tadi. Tolong jangan buat saya serba-salah...”
Aku tetap membatu di dalam. Tak sengaja konon? Boleh blah la. Orang gelak mana ada sengaja-tak sengaja.
“Cik... jomlah. Mak saya ajak makan tu. Perut saya tengah lapar ni. cik tak lapar ke?”
Tetap tiada respon yang aku beri.
“Takpelah. Dah orang tak sudi..buat apa saya terhegeh-hegeh...” suara Azran mengendur seperti merajuk. Hampir 2 minit, tiada lagi suara Azran kedengaran. Dah pergi ke? Aku membuka pintu yang berkunci itu. Kepala dipanjangkan untuk mengintai kut-kut Azran masih di sini.
Aku turun dari tangga. Masih belum nampak kelibat Azran. Alaa... janganlah pergi. Perut aku dah lapar ni. Tadi tu acah je...
Keriuuukkk....
Haa..kan aku dah cakap. Perut aku ni tengah lapar. Apa aku nak makan malam ni?
“Baaaa!”
“Arhhhhh!” spontan aku menjerit.
“Haha...cik sofi cari saya ke?”
Dalam gelap, aku menjelingnya geram. Azran sempoi dengan baju tshirt dan kain pelekatnnya. Memang pemakaiannya sentiasa simple.
“Eh perasan! Saya saja je keluar nak ambil angin.” Sengaja aku pejam mata sambil mendepang tangan. Agak-agak dia percaya tak yang aku betul-betul tengah ambil angin ni?
“Dah la. Jom, mak saya tunggu tu. Saya tau cik lapar. Saya dengar tadi. Keriukk...keriukk...” Azran mengajuk bunyi perut aku tadi. Aku ketawa melihat gayanya. Azran ni memang pandai hiburkan hati aku dan sedikit sebanyak aku semakin senang berada disampingnya.
***
Niat ingin pulang selepas makan malam tadi terbantut tatkala sayup-sayup telinga aku menangkap suara seseorang di dalam bilik. Aku menghampiri pintu bilik itu, ditekup telingaku padanya. Sungguh merdu sekali suaranya. Walaupun aku tidak tahu makna ayat yang dialunkan, tetapi tetap membuatkan hati aku tenang.
“Azran memang selalu mengaji sebelum nak tidur.”
Aku tersentak apabila mendengar suara Makcik Zubedah menyampuk tiba-tiba. Makcik Zubedah duduk di kerusi rotan di ruang tamunya.
“Mengaji?”
Zubedah mengangguk. “Sofi dah solat Isyak? Kalau tak kisah, solat jelah kat sini.” Pelawaannya membuatkan wajah aku berubah kendur.
“Saya....arr...sa..saya tak..”
“Tak boleh?”
Aku menggeleng lalu turut serta duduk di sebelahnya. “Saya..tak reti...” luahku sambil menunduk. Menanti apa hujah yang bakal keluar dari mulut wanita itu. Tiba-tiba tangan kiriku disentuh lembut.
“Sofi nak belajar?”
Demi mendengar tawaran itu, pantas saja kepala aku didongakkan.
“Tapi saya tak sedia lagi.”
Makcik Zubedah masih dengan senyumnya. “Sofi, solat ni perkara yang wajib umat Islam lakukan dan berdosa jika tidak melaksanakannya. Jika ada je perkataan WAJIB, nak taknak kita tetap kena buat walaupun zahir dan batin kita belum bersedia. Buktinya, kenapa ada solat duduk, menelentang, mengiring, isyarat mata mahupun hati. Ini kerana solat itu teramatlah penting walaupun kita tiada keupayaan. Jadi Sofi pahamkan?” begitu lembut Makcik Zubedah berhujah.
Aku hanya menekur lantai. “Makcik... saya dah lama tak sentuh sejadah, makcik. Sejak sekolah menengah lagi. Saya dah lupa macam mana nak mengaji, kenal alif ba ta pun belum tentu. Saya dah jauh ketinggalan makcik. Saya jahil...” pandangan mataku semakin kabur dek air mataku yang menakung lalu berjujuran. Sunggu aku berasa kesal bila mengingati sikap aku dahulu. Makcik Zubedah memeluk aku erat sambil mengusap belakang aku.
“...Saya terlalu bebas. Sampai papa dah tak reti macam mana nak kawal hidup saya. Papa dengan abang solat, tapi saya tak. Kadang-kadang saya dengar papa mengaji dalam bilik. Saya betul-betul tertekan selepas kematian arwah mama. Waktu sekolah rendah saya tak banyak cakap. Bila dah meningkat remaja, perangai saya 100 peratus berubah. Makcik....saya ni terukkan? Lepas ni makcik pun mesti bencikan saya. Sama macam papa dengan abang....” makin rancak tangisanku seiring tangan Makcik zubedah  yang mengusap belakangku.
“Shhhttt... kenapa cakap macam tu sayang? Ayah siapa yang tak sayangkan anaknya? Abang mana yang bencikan adiknya kandungnya? Makcik yakin semua yang berlaku ni ada hikmahnya. Tak baik tau prejudis terhadap orang, lagi-lagi pada ahli keluarga sendiri, yang dah duduk bersama selama kita hidup ni.”
Tangisan aku makin menggila. Mengenangkan papa dan abang, betul-betul membuatkan hati aku terguris. Kata-kata makcik itu tidak benar. Papa dengan abang dah buang aku. Jadi apa gunanya lagi perkataan ‘sayang’ setelah apa yang berlaku sekarang ini.
“Sofi tidur jelah sini ya. Makcik risau nak tinggalkan Sofi sorang-sorang kat rumah.” aku terus mengangguk. Memang aku memerlukan seseorang kala ini.
“Nangis nak. Teruskan menangis. Puaskan hatimu...” Makcik Zubedah masih setia disisi aku. Tangannya tak henti-henti mengusap belakang aku. Layanannya itu mengingatkan aku pada arwah mama yang selalu memujuk aku jika aku bersedih.
***
Setelah mandi, aku meniti tangga untuk turun ke dapur. Rumah Azran ni dua tingkat. Dapur pula berada di tingkat bawah.
“Assalamualaikum....” aku memberi salam. Waktu itu makcik Zubedah sedang mengacau sesuatu di dalam kuali.
“Wa’alaikumsalam... ha, dah bangun pun anak dara ni. Nyenyak tidur semalam?” senyuman manis dihulurkan padaku.
“Nyenyak sangat. Untung Azran dapat mak yang penyayang macam makcik. Rasa kurang sikit rindu saya pada arwah mama.” Aku memeluk makcik Zubedah dari belakang. Malam tadi makcik Zubedah mengajak aku tidur sebilik dengannya. Makcik Zubedah dodoikan aku sebelum tidur. Betul-betul menggamit kenangan aku pada arwah mama.
Makcik Zubedah memadam api lalu berpusing mengadap aku.
“Kalau Sofi nak anggap makcik ni mak Sofi, makcik suka sangat. Dengan berbesar hatinya makcik terima. Haa... kalau nak panggil makcik mak macam Azran pun boleh...”
“Tapi kenalah kahwin dengan anaknya dulu. Betul tak mak?” tiba-tiba Azran muncul di dapur sambil duduk di meja makan. Mata aku bulat kala mendengar perkataan kahwin itu. Huh! Memang tak la aku nak kahwin dengan mamat ni. Tak pernah mimpi langsung!
“Haa..tu nak kutuk saya dalam hati la tu. Jangan cik. Lagi kita tak suka, lagi la jodoh tu mendekat. Apa salahnya kahwin dengan saya? Dapat mancing hari-harikan?” Azran ketawa sambil meneguk air yang baru dituang.
Aku menahan geram. Dijengilkan mata pada wajah selamba Azran. Memang nak makan penampar aku ni.
“Hish kamu ni Azran. Tak baik buli Sofi. Tak payah layan sangat dia ni Sofi. Sofi nak panggil apa-apa pun tak kisah. Tak kena syarat pun.” Makcik Zubedah tersenyum. Aku membalasnya dengan membuat tangan tanda okay.
“Haa... Sofi tau masak? Hari ni makcik nak masak gulai lemak jantung pisang. Pernah makan?”
Aku menggeleng.
“Haa.. dah tak pernah makan mestilah tak pernah masakkan? Meh sini makcik ajarkan.”
“Hemm...elok la tu belajar masak. Nanti senang nak jadi isteri orang...” Azran bangkit untuk keluar dari rumah. Membahang wajahku rasa. Apesal hari ni dia banyak cakap pasal ‘tuutt’ je? Makcik Zubedah tergeleng-geleng mengenangkan sikap anaknya.
Aku menghampiri Makcik Zubedah yang sudah mula membersihkan jantung pisang disinki. Dan aku meneliti caranya memasak. Memang macam pakar. Agak-agak kalah chef.

0 Comments:

Post a Comment



<< home ?

Older Post | Newer Post