follow

Isteriku 2 Alam-17


Lisa tersenyum puas melihat lauk-pauk yang sudah siap di masak di dalam periuk itu. Menu hari ni, special untuk abah tersayang. Ikan terubuk masam asam pedas, kegemaran abah. Ikan keli masak berlada, kegemaran Farid. Selain itu, sayur kailan ikan masin, terung masak tumis, kacang botol dan tempoyak.

Jam di dinding dapur di pandang. Pukul 12:30. Lisa mengemas dapur. Setelah itu dia menanti abahnya di ruang tamu. Sesekali kepala dijenguk keluar.

“Lambatnya laa...” keluhnya. TV di pasang bagi mengisi masa sambil menunggu tetamu istimewanya datang.

Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi pagar di buka. Lalu Lisa melangkah ke pintu. Kelihatan Izz sedang menutup pagar rumahnya. Setelah itu dia menyeret basikalnya ke dalam. Izz yang terasa dirinya di perhati terus mendongak.

Lisa tersengih. Dia keluar dari rumah, menghampiri benteng pembahagi rumah mereka. Alang-alang tengah tunggu abah, baik dia keluar terus.

“Dari mana?”

“Lepak rumah member.” Jawab Izz. Niat ingin masuk terbantut. Ada sesuatu yang ingin di tanya pada wanita itu.

“Beb, kau nak join kelab aku tak?” tawar Izz.

Dahi Lisa bercantum. “Kelab? Kelab apa? puteri UMNO?”

“Eh, kerepek la kau! Ape kerlas orang macam aku join menatang tu. Kelab Fixie. Kecil-kecil je. Member aku yang tubuhkan. Saja suka-suka. Nak?” Wajah Izz kelihatan teruja. Berharap benar Lisa akan setuju.

Lisa tersengih sambil garu kepala. “Kelab Fixie tu pebenda?”

Izz yang mendengar juling mata ke atas. “Hemm... Kelab Fixie tu, kelab basikal fixie. Fixie tu basikal. Dalam kelab ni, setiap ahli ada basikal fixie...macam aku ni.” Izz menunjukkan basikal fixienya. Bermacam-macam warna di tempek pada basikal itu. Macam pelangi! Tapi unik. Sebab tayar dia lain daripada basikal lain.

“Setiap hujung minggu, kitorang akan buat konvoi. Tak kesahlah nak ronda tang mana, ceruk mana. Saja nak isi masa-masa lapang. Bayarannya pulak, tak tentu. Ikutlah mana tempat yang nak di tuju. Lagi jauh, lagi tinggi bayarannya. Dalam kelab aku ni, baru ada 15 orang. Budak-budak muda kawasan sini, kebanyakannya join. Termasuk budak-budak lain. Tapi, umur mesti above 25. Yang lebih tu, tu dah lanjut usia. Nak join, buat grup sendiri.” Panjang lebar Izz menerangkan kelabnya. Terkebil-kebil Lisa menadah telinga mendengar keterangan tersebut.

“Assalamualaikum.....”

Lisa tersentak. Lantas dia memandang ke pagar rumahnya. Serta-merta senyuman lebar di ukir. Wajah yang dirindui akhirnya muncul juga di depan matanya. Kata-kata Izz yang agak panjang lebar tadi terus dilupakan saat melihat wajah-wajah di luar rumah itu.

“Wa’alaikumsalam.... Abah, masuklah...” Lisa berlari anak pada abahnya. Tangan abah di kucup. Idrisi menarik tubuh anak gadisnya kedalam pelukan. Sememangnya dia amat merindui anaknya yang satu itu.

“Abah je ke yang di ajak masuk? Abangnya tak?” perlian dari abah membuatkan Lisa tersengih panjang.

“Ala... Farid ni duduk kat luar pun dia tak kesah. Jom abah, kita masuk. biar si Farid ni yang angkat barang. Abah bawak baju spare tak? Nak stay sini berapa hari?....” becok Lisa menyoal siasat abahnya. Farid ketap bibir. Geram dengan sikap Lisa. Ada ke tinggalkan aku sorang² kat luar? Tak ada hati perut langsung!

***

Kecoh keadaan luar rumah itu dengan gelak tawa Lisa dan Farid. Izz yang baru bertandang turut sama mengecohkan lagi taman mini itu.  Walaupun dia baru saja mengenali Farid, tetapi jelas Izz memang agak cepat mesra alam.

Idris yang baru selesai solat asar, menapak ke pintu utama. Tergeleng-geleng kepalanya melihat gelagat anak muda tiga ekor itu. Yang sorang dah berbini, tapi tak serupa berbini. Yang sorang umur mencecah 30, tapi macam budak 3 tahun. Dan sorang lagi tu..... Idris kerut dahi. Siapa pulak lelaki yang duk bertepuk tapa dengan Lisa tu?

“Seronoknya! Gelak sampai tak ingat dunia.” Suara Idris mencelah menghentikan suasana kecoh mereka.

“Eh abah, dah lama diri situ. Meh la join kitorang.” Pelawa Lisa. Kerusi di sebelah kanannya di tarik, manakala di kirinya pula Izz yang duduk. Lisa yang terperasan dengan pandangan aneh abahnya pada Izz, cepat-cepat bersuara.

“Abah, ni Izz Za....”

“Pakcik! Saya Izz, panggil je Izz. Saya jiran Lisa belah kanan tu.” Potong Izz. Lisa memandang Izz yang sedang memainkan mata padanya. Lisa tidak mengerti akan maksud isyarat itu, lalu dibiarkan saja, bukan perkara besar pun.

“Aaa...a’ah bah. Ni jiran Lisa.” Sokong Lisa sambil mengangguk.

Idris mengangguk seraya tersenyum.

“Lisa, kamu dah solat? Gelak kemain, sampai solat pun lupa.” Tegur Idris.

“Belum bah. Sat lagi la... Eh Izz..pasal kelab tu... Arghhh..abah!” Lisa mengaduh kesakitan apabila telinga kananya dipulas Idris. Farid yang melihat sembunyi tawa.

“Apa sat-sat? Abah kata sekarang. Jangan nak lambat-lambatkan solat. Tak elok.” Telinga Lisa di lepas. Makin menjadi-jadi perangai anaknya walaupun sudah bergelar isteri. Tu baru isteri, belum bergelar ibu lagi. Idris geleng kepala.

“Iyelah... iyelah... orang nak pergi la ni. Tu, Farid abah taknak pulas? Mana aci Lisa je.” Lisa jelir lidah pada Farid yang tersengih mengejek.

Lisa akhirnya bangun lalu menapak ke pintu rumah. Bunyi enjin memasuki perkarangan rumah menghentikan langkahnya. Lalu badan di pusing kebelakang. Erk... Adnan dah balik? Cepatnya. Kata habis futsal pukul 6:00 petang. Handphone di dalam seluar di keluarkan. Jam baru menunjukkan pukul 4:45. Sah, ada yang tak kena ni.

Lisa yang masih tercegat di depan pintu hanya memerhati Adnan yang memakai jersi Chealsea dengan ramahnya menyapa Idris di taman mini itu. Farid juga di sapanya. Pada Izz, satu anggukan di hulurkan. Tidak lama kemudian, Adnan melangkah ke pintu rumah.

“Jam kau rosak ke?” sapa Lisa apabila Adnan berhenti di depannya.

Adnan bersahaja memerhati jam di tangannya. “Takdelah. Okey je. Nape?”

“Kau cakap futsal habis pukul 6:00. Ni pukul 5 pun belum lagi.” Luahnya. Dia yakin jam pada telefonnya betul. Jadi kenapa Adnan balik awal pulak?

Adnan tersenyum. “Aku yang nak balik awal. Salah ke?”

Sah! Kompem jam pada handphone aku betul.

“Tak payah la nak tunjuk alim sangat. Kalau nak main futsal tu, main jelah puas-puas. Kau bukannya kesah sangat pasal famili akukan? Tetiba nak jadi baik pulak” Lisa mencebir.

Lagi sekali Adnan tersenyum. Ni lagi satu hal. Apesal asyik tersenyum je dari tadi?

“Aik, bunyi macam marah je? Akukan menantu mithali. Kau macam tak tahu! ” balas Adnan masih dengan senyuman.

Lisa ketap bibir mendengar jawapan Adnan itu. Ada saja yang nak dijawabnya. Dia pantas masuk ke dalam rumah meninggalkan Adnan di situ walaupun dia tahu Adnan sedang mengekornya untuk masuk ke dalam bilik masing-masing.

Tatkala pintu bilik ingin di pulas, terdetik satu perkara di mindanya. Adnan yang baru tiba di depan pintu itu di pandang.

“Apa?”soal Adnan pelik apabila dia di perhati.

“Weh, abah aku dekat bawahla!” jeritnya dalam bisik. Tanda dia benar-benar serius. Ni memang hal serius. Tak boleh buat main-main dah. Adeehh... apesal la aku tak pikir benda ni awal-awal sebelum abah dengan Farid datang?!

“Yelah, aku tau. So what?”

“Kita ni macam mana?”

“Kita? Macam mana apa?” soal Adnan lagi. Memang benar-benar pelik dengan sikap Lisa hari ni. Nak masuk rumah kena soal, ni nak masuk bilik pun kena soal siasat jugak.

Lisa merengus geram. “Kita! Tengok, bilik ni macam mana? Kau punya idea la ni!” Luah Lisa geram segeram-geramnya. Apesal la laki aku ni lambat pick-up. Nasib baik kau laki aku. Kalau tak, ku cekik-cekik sampai kau paham.

“So?”

Mata Lisa bulat. “Kau memang susah nak paham akukan?! Ish, dah la!” Di pulas pintu biliknya lalu masuk dengan menghentak pintu sekuatnya. Lantaklah apa abah pikir, yang penting sekarang ni....habislah kalau abah tau aku dengan Adnan tidur berasingan. Lisa berjalan mundar mandir di dalam bilik itu. Setelah 15 minit berjalan, Lisa duduk di atas tilam.

Ligat mindanya mencari jalan bagaimana mahu mengaburi mata abahnya sekaligus pada Farid sekali. Banyak kali otaknya bercadang untuk masuk kedalam bilik Adnan saja. Tetapi kakinya berat untuk berbuat demikian. Namun hanya itu saja caranya. Tapi..... Ah! Ada jugak tapinya tu!

Lisa baru bercadang untuk keluar dari bilik dan bercakap dengan Adnan. Tetapi bunyi ketukan di sebuah pintu di sebelah meja solek itu menarik perhatiannya. Lisa pelik. Dia menghampiri pintu itu. Sebelum ini pernah jugak dia cuba untuk membuka pintu misteri itu, tapi gagal. Akhirnya dia biarkan sahaja.

Bunyi kunci di masukkan pada tombol pintu kedengaran. Lagi la Lisa berasa aneh. Dia menanti sahaja di depan pintu itu. Tak lama lepas itu, terjengul kepala Adnan pada pintu yang dibuka sedikit. Terbeliak mata Lisa.

“Anan... macam mana....” lidah kelu untuk berkata. Tak sangka rupanya pintu yang disangka misteri itu, pintu yang menghubungkan biliknya dengan bilik Adnan. Ahh... apesal la aku tak terpikir. Sebelah bilik aku kan bilik Adnan. Dah tentu-tentu la ni pintu untuk ke bilik sebelah.

“Anan! Kau ni bijaklah! Brilliant! Macam tahu-tahu je. Ya Allah.. bertuah aku ada suami macam kau. Terlepas aku satu masalah.” Lisa meraup wajahnya. Adnan kemudiannya masuk semula ke biliknya dengan pintu yang dibiarkan terbuka.

Lisa hairan. Dalam masa yang sama dia serba salah kerana telah memarahi Adnan tadi. Dia merajuk ke? Apesal senyap je.

Kelihatan Adnan sedang bersandar pada kepala katil. Lisa menghampiri.

“Anan... arr... aku...tadi.. aku mintak maaf pasal tadi. Kau terasa ke?” di intai Adnan yang sedang khusyuk dengan majalah Autonya.

“Weehh... cakap la. Kau terasa ke pasal tadi? Aku  minta maaf la. Anan?” usaha Lisa lagi. Kebisuan Adnan membuatkan rasa bersalahnya membukit. Kompom orang tua ni merajuk. Eeii...macam pondan! Sikit-sikit nak sentap.

Majalah Auto itu di rampas dan disorokkan di belakang. Khusyuk sangat dengan majalah nikan? Sekarang khusyuk pada isteri kau pulak. Kau nak buat mogok? Apa, ingat aku tak boleh mogok jugak ke? Desis Lisa.

“Woit..apa ni? Ish...” Adnan berusaha untuk merampas majalah itu di belakang Lisa. Serba-salah dia untuk menghampiri Lisa semata-mata majalah itu. Kerana sekali dia menghampiri Lisa, pasti ada debar di hatinya. Dia mengalah. Lantas handphonenya pula menjadi tatapan.

Lisa ketap bibir. Degilnya dia! Telefon Blackberry itu di rampas. Namun tersekat disitu apabila Adnan seperti sudah tahu niatnya untuk mengambil telefon itu. Pergelutan kecil berlaku kala Adnan masih berdegil untuk tidak melepaskan telefonnya.

Tanpa diduga, Lisa yang berdiri atas karpet tergelincir lalu tersembam ke atas tilam. Lisa terkedu seketika dengan apa yang berlaku tika itu. Sebenarnya bukan di atas tilam, tetapi di atas satu susuk tubuh. Niat cuma hendak mencuri perhatian Adnan, tapi lain pula yang jadi. Dia meniarap di atas badan Adnan. Saat itu, jantungnya berdegup kencang. Denyutannya sudah lari dari denyutan asal. Jika dia pandang ke sisi, pasti mulutnya akan bersentuhan dengan pipi Adnan. Tika itu juga, dia dapat merasa degupan jantung Adnan yang juga rancak sepertinya.

Adnan statik. Dia kaku. Sukar digambarkan perasaannya sewaktu Lisa begitu hampir dengan wajahnya. Dalam masa yang sama, terasa hatinya begitu dekat dengan hati Lisa. Denyutannya jelas terasa. Adnan berdehem, sekadar untuk meredakan perasaannya yang sudah tidak tentu arah.

Lisa pantas bangkit dan berpura-pura membetulkan baju. Dia betul-betul tidak sangka. Perbuatannya memang sudah melampaui batas. Dia tidak mahu Adnan fikir yang dia sedang mengambil kesempatan. Ah... aku tak ambil kesempatan dan takkan ambil kesempatan yang ada. Malunya!

Adnan perasan wajah Lisa agak kemerahan. Dia segera duduk dari bersandar pada kepala katil. Matanya liar mencari telefon bimbitnya.

“Err...aku... emm...” terkulat-kulat Lisa membuka mulutnya. Kepala yang tidak gatal digaru. Bagai ada seketul emas hingga menyukarkan dia membuka mulut untuk mengatakan sesuatu. Tanpa mempedulikan Adnan, dia terus berlalu dan menutup pintu yang menghubungkan billiknya ke bilik Adnan. Badannya ringan sahaja melayang ke atas tilam empuk itu. Muka di tekup pada bantal dan menjerit sepuas hati. Betapa malunya dia saat itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu!



2 Comments:

Blogger firaSAM said...

http://bodaktiutpunyastory.blogspot.com/2012/01/mega-giveaway-2012-belog-nemomimosh.html tag u dear..

 
Blogger Nadhirah said...

:) follow sinie :)

 

Post a Comment



<< home ?

Older Post | Newer Post